Firman Allah Bermaksud;

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Ali Imran Ayat 31

Selasa, 21 April 2009

Kisah Muallaf - Nur Ain utus surat beritahu pengislaman

BEBERAPA hari ini fikiran dan perasaan Li Nee a/p Chian berkecamuk. Serba-serbi yang dibuat bagai ada yang tidak kena. Ini semua gara-gara e-mel yang dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tempoh hari. Rasanya sudah seminggu berlalu, namun satu respons pun tidak diterima. Benarlah bagai dikata, penantian itu satu penyiksaan. Apatah lagi, e-mel tersebut membayangkan gejolak di jiwanya yang berkaitan agama Islam.

Bicara e-mel yang berbunyi: Bagaimana saya hendak belajar tentang Islam? Sekali lagi cuba dihantar, tetapi kali ini kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Itupun setelah puas melayari Internet dengan harapan ada pihak yang peduli akan luahannya itu. Bentak hati kecil gadis berbangsa Siam, itulah kiriman e-mel terakhir, tidak ada yang ketiga atau seterusnya selepas dari ini.

Petang itu, Li Nee terkejut. Di peti e-melnya tertera kiriman balas e-mel dari IKIM. “Takkanlah dah terima e-mel balas sedangkan baru pagi tadi dihantar,” tanya penuntut tahun satu bidang kejuruteraan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kehairanan.

Nota berbunyi: Bolehkah kita berjumpa? Kiriman Nur Azaruddin, seorang pegawai di IKIM dibaca tenang. Biarpun ringkas tetapi begitu terkesan di hati gadis kelahiran Pendang, Kedah ini. “Esok saya akan ke IKIM. Terima kasih,” balas Li Nee pendek.

Rentetan beberapa siri pertemuan dengan Nur Azaruddin, selang tiga bulan kemudian, Li Nee mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Kajang, Selangor, dan 20 April 2004 adalah tarikh keramat dalam lembaran baru kehidupan beliau bergelar Muslim.

Baru-baru ini, kesempatan berkunjung ke rumah pasangan Nur Ain dengan pemuda kelahiran Muar, Johor, Mohamad Shukri Boros, masing-masing 29 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor, menyingkap kisah penghijrahan akidah anak sulung daripada dua adik-beradik ini. Pasangan bahagia ini mendirikan rumah tangga pada penghujung 2006.

“Ketika zaman sekolah lagi, saya sudah idamkan sebuah keluarga yang aman damai, lebih-lebih lagi bila melihat keluarga teman-teman Melayu. Pada masa itu tidak melihat sangat daripada aspek keagamaan mereka, tetapi lebih kepada cara hidup mereka. Yang tua hormat yang muda dan begitu juga sebaliknya malah jarang sekali melihat perbalahan antara ahli keluarga.

“Kemudian apabila menyambung pelajaran ke sekolah vokasional dan kemudian meneruskan pengajian peringkat diploma di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang keinginan untuk mengetahui tentang Islam terkubur selama setahun sehinggalah sewaktu belajar di UKM, ia kembali serius.

“Saya tidak menafikan faktor penarik saya kepada Islam salah satu kerana saya sudah berkawan dengan pemuda Melayu. Namun jauh di sudut hati, kecantikan dan kesyumulan Islam itulah yang melahirkan rasa kecintaan kepada Allah yang Esa. Malah saya bersyukur Allah mempertemukan saya dengan individu yang memberi penjelasan dan contoh tauladan tentang Islam secara jelas dan menyakinkan, selain menerusi pembacaan,” akui Nur Ain seraya menyenaraikan nama-nama seperti Nur Azaruddin, Nur Atirah Masyaail Tan, Che Yusof Tahir dan isterinya, Ustazah Nasroh (keluarga angkat) sebagai pembimbing hingga ke hari ini.

Tambah Nur Ain, sebaik diri bergelar Muslim, beliau cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga kandung. Tegasnya, tindakan yang boleh dianggap membelakangkan keluarga itu tidak bermaksud meminggirkan keluarga tetapi lebih kepada faktor keselamatan diri.

Pun begitu, rahsia besar itu sampai juga ke pengetahuan keluarga selepas berjaya disembunyikan selama setahun. Semuanya terbongkar apabila Nur Ain bertembung dengan adik kepada teman sepupunya di kampung.

“Ayah menelefon saya inginkan kepastian tetapi saya menafikannya. Bila membohongi keluarga, timbul juga rasa bersalah lalu saya mengambil keputusan memberitahu dengan mengutus sepucuk surat kepada adik membuat pengakuan.

“Saya agak takut juga apabila keluarga bergegas ke UKM sebaik mengetahui pengislaman saya. Mereka mahu membawa saya ‘kembali’. Alhamdulillah, banyak pihak yang membantu meredakan situasi ketika itu. Kalau tidak tak tahulah bagaimana keadaan saya,” kata Nur Ain yang bertugas sebagai jurutera awam di sebuah syarikat hartanah di Taman Desa, Kuala Lumpur.

Malah Nur Ain bersyukur ayah dan adiknya sudah boleh menerima walaupun hubungannya dengan ibu masih dingin tetapi tidaklah seteruk pada peringkat awal dulu. Biar bagaimanapun perang psikologi yang ibu lakukan, kata Nur Ain, beliau berserah kepada Allah SWT dan yakin hanya masa mampu memperbaiki keretakan yang berlaku itu.

Yang pasti, ramai bukan Islam mempunyai persepsi yang tidak tepat tentang Islam dan perkara ini mengundang salah faham yang lebih jauh. Hakikatnya, apa yang diidamkan selama ini ditemui di dalam agama Islam, selain sifat-sifat yang negatif sewaktu belum Islam nampak perubahannya hanya dengan menggunakan terapi Islamik menerusi ajaran Islam.

Sumber : Utusan Malaysia

Kisah Saudara Baru - Aishah bahagia dalam nur Islam

SELESAI dua kalimah syahadah dilafazkan, hatinya terasa terlalu aman seperti dinginnya air yang mengalir di bawah terik matahari meresap ke seluruh anggota. Hatinya bergetar dan terharu kerana niat yang disimpan sejak remaja akhirnya dimakbulkan.

Menurut Siti Aishah Abdullah, 24, seorang saudara baru sejak 2002, tidak ada perkataan yang mampu diluah untuk menggambarkan perasaannya saat itu, hanya air mata kesyukuran yang tumpah mengiringi keredaannya memilih Islam sebagai pegangan hidup.

Akuinya, ia mendamaikan hati malah semakin yakin dengan apa yang dilakukan kerana ahli keluarga terdekat terutama emak dan ayahnya tidak membantah haluan yang dituju.

"Aishah sungguh terharu kerana jalan Aishah lebih mudah, tidak seperti kelaziman yang ditempuh oleh orang lain yang mempunyai hasrat serupa kerana ibu bapa tidak membantah," jelasnya.

Selalunya babak yang kita dengar, tentangan yang keras sehingga ada yang memusuhi darah daging sendiri dan lebih teruk lagi mereka tidak lagi mengaku anak dan menghalau keluar daripada keturunan.

"Sebaliknya Aishah sangat-sangat bersyukur kerana emak dan ayah yang berketurunan Cina dan menganut agama Buddha tidak membantah, sebaliknya banyak memberi sokongan moral," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis tudung, pakaian siap termasuk kurung dan baju Melayu, wanita berasal dari Kemboja ini juga menjual kain batik, kain pelikat dan telekung di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu, Kelantan.

"Aishah suka berniaga kerana daripada apa yang dipelajari melalui pembacaan atau mendengar ceramah agama di masjid-masjid, isteri Rasullullah SAW, Siti Khadijah juga gemar berniaga malah menjadi saudagar yang berjaya ketika di zamannya.

"Hati berasa tenang dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan walaupun kerenah dan ragam mereka ada kalanya memang mencabar kesabaran dan keimanan," ujarnya.

Sejujurnya kata Aishah, sejak beliau memeluk Islam ketika usia menginjak 19 tahun, hatinya lebih lembut dan mudah diajak berbincang jika berlaku apa-apa masalah berbanding sebelumnya.

Sebelum ini di negara asal kata Aishah, ketika usia menginjak remaja, hatinya sering memberontak dan mudah marah jika timbul perkara yang tidak disenangi.

Namun, selepas memilih Islam sebagai pegangan hidup, beliau lebih positif dan berfikiran lebih terbuka dan matang.

Menurutnya, antara sebab mudah menerima ajaran Islam kerana sejak kecil beliau mempunyai ramai teman di kalangan yang beragama Islam di kampung halaman di Siamreap, Kemboja.

"Pada tahun 2000, Aishah pernah melancong ke negara ini dan berkenalan dengan seorang wanita yang tinggal di Kota Bharu dan mengambil Aishah menjadi anak angkatnya.

"Melalui kenalan itu, Aishah belajar berniaga kain dan menjahit. Secara tidak langsung belajar mengenai agama Islam lebih mendalam dengan sokongannya," katanya.

Kecekalan hatinya memeluk Islam dan ketenangan yang sering terpancar di wajahnya turut mempengaruhi ahli keluarga yang lain.

Abangnya, Mohamad Yusof Kim, 27, menunjukkan minat yang mendalam dan akhirnya dengan dorongan Aishah, dia selamat melafazkan dua kalimah syahadah pada tahun 2003.

Persetujuan abang sulung untuk bersamanya memilih Islam amat menggembirakan dan dia bersyukur kerana abangnya turut mendalami Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

"Aishah sungguh terharu dan sentiasa berdoa agar kesemua ahli keluarga juga terbuka hati untuk memeluk Islam dan Allah makbulkan doa tersebut apabila adik lelaki, Abdul Haq Kim, 22, juga memeluk Islam pada awal bulan Ramadan lalu," ujarnya terharu.

Sambutan hari raya kali ini lebih ceria dan bermakna kerana Abdul Haq meraikannya buat kali pertama sebagai seorang muslim.

Melayari kehidupan sebagai saudara baru, banyak cabaran yang dilalui walaupun mendapat bimbingan daripada Perkim peringkat negeri.

Sejak memeluk Islam dan menetap di negara ini, hidup Aishah seperti perjalanan cerita dalam drama di televisyen.

Katanya, dalam usia 24 tahun dia telah bergelar ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Wan Ahmad Firdaus, 3, dan Wan Nor Salwa, 2.

"Hakikatnya apa yang Aishah lalui, tidak pernah terlintas pun akan terjadi namun Aishah reda dengan ketentuan hidup yang Allah tentukan dan yakin ia ada hikmahnya.

"Aishah kini lebih berdikari untuk menampung kehidupan termasuk membayar sewa rumah, sewa kedai, perbelanjaan anak-anak termasuk juga menanggung keluarga yang berhijrah ke negara ini," katanya.

Status janda katanya, tidak mengubah pendiriannya terhadap Islam walaupun di peringkat permulaan merasa amat kecewa dan hampir hilang pertimbangan diri.

"Mujur nasihat kenalan rapat dan sokongan moral keluarga terutama ayah, Kim Tee, 62, yang kini tinggal bersama Aishah banyak membantu.

"Aishah perlu kuatkan semangat untuk terus menjalani kehidupan kerana setiap kali terpandang wajah anak-anak yang masih kecil, terasa sedih dan pilu," ujarnya.

Walaupun gagal dalam perkahwinan, namun sebagai wanita ini reda dengan ujian yang menimpa malah berhasrat membawa kedua ibu bapa dan dua lagi adiknya di Kemboja memeluk Islam pada bila-bila masa sahaja yang mereka persetujui.

Sumber : Utusan Malaysia

"Magical Template" designed by Blogger Buster